Sembang-sembang antara dua sahabat.
Terima Kasih Hilal!...
Sembang-sembang antara dua sahabat.
Terima Kasih Hilal!...
Semalam katanya mahu berubah..
Lantas bersiap "menjahit" kupiah..
Malang.. benang "kehabisan"
Dipenghujung jahitan "bunga"..
Keluhannya menghembus deru nafas kecewa..
Lalu.. janji semalam, hari ini ditangguh..
Hari ini katanya sekali lagi mahu berubah..
Lantas tergesa bangun seawal fajar..
Aduhhh.. sekali lagi.. air paipnya tiada..
Keluhannya sekali lagi menghembus deru nafas kecewa..
Lalu.. janji hari ini tertangguh lagi..
Berbisik hati.. esok masih ada..
Maka biarlah jiwa benar-benar tenang berubah..
Lantas merelakan lena rehat seketika..
Katanya cuma seketika..
Sesungguhnya Allah Maha Pengasih..
Dia yang mahu berubah "lena" selamanya..
Allah Maha Pengampun..
-- Coretan dinding Faizul Hilmi, anak muda yang berkelana di bumi Loughborough, London. Mula kenal di Air Port Jeddah, semasa transit 17 jam sebelum ke Amman, 26 Sept 2011.
Salam alaik Ustaz. Nak tanya pendapat. Apa pendapat Ustaz tentang slogan 'Melayu Sepakat Islam Berdaulat' yang diketengahkan oleh sebuah NGO di Malaysia ni?
Saya tak faham apa yang nak ditanya?
Pendapat Ustaz tentang slogan ISMA tu. Ada org kata Nasionalisme dan dah tak boleh pakai sekarang ni. Ada yang kata Asabiyyah. Ada yang kata "Melayu je ke yang nak Islam". Ada yang kata orang bukan Melayu terasa. Ada yang kata Islam dulu baru Melayu.
Ya, ramai yang terkeliru antara batasan bangsa dan agama. Kekeliruan ini timbul ketika kumpulan Islam berdepan dengan kumpulan Nasionalis yang memerintah, ringkasnya, Islam tidak membatalkan bangsa, sebagaimana Islam tidak menghalang sesuatu bangsa membina dan memajukan bangsanya menganggap sesuatu pertubuhan itu salah kerana diasaskan atas nama dan kepentingan bangsa adalah tidak tepat.
Kekeliruan ini juga mungkin timbul bila ada orang menterjemah Nasionalis sebagai Assabiyyah. Sebenarnya Nasionalis sama dengan Qaumiyyah. Asabiyyah maknanya taksub, dan taksub tidak terjadi pada bangsa saja, ianya mungkin terjadi pada parti, kumpulan, persatuan, kabilah atau daerah dan lain-lain. Sebab itulah ada umat Islam yang taksub mazhab sehingga mengkafirkan mazhab lain, ada yang taksub pemimpin sehingga tidak sanggup mengakui kesilapan seseorang pemimpin.
Zaman Rasulullah SAW, baginda adalah pemimpin tertinggi, sementara pemimpin kaum dan kabilah tetap wujud dan tidak dibatalkan oleh baginda. Setelah nabi berpindah ke Madinah pun orang-orang Muhajirin yang berasal dari Mekah tetap mempunyai pemimpin sendiri. Saya kira persoalan itu tidak wajar, seorang Cina boleh tetap jadi Cina untuk masuk islam, maka seorang Melayu boleh tetap jadi Melayu untuk jadi orang Islam.
Dari sudut pentadbiran pula, orang Melayulah yang akan lebih perihatin dengan nasib Orang Melayu, dan di Malaysia orang Melayu yang dominan, jika mereka bersatu sudah tentu Islam jadi kuat sebab Orang Melayu di Malaysia adalah Muslim.
Namun demikian di Amerika mereka telah mencapai tahap kematangan yang lebih tinggi, kontrak sosial negara mereka telah disepakati dan diterima semua orang, sebab itu mereka sudah tidak kira bangsa apa yang memerintah, yang penting pemimpin itu menjaga kepentingan rakyat Amerika, kematangan ini mungkin juga akan wujud di Malaysia tetapi pada tanggapan saya bukan dalam masa terdekat, ini kerana bangsa-bangsa di Malaysia masih prejudis antara satu sama lain,
Apa komen Ustaz kalau orang kata slogan ni tak Syumul dan akan menyebabkan orang makin jauh dari pertubuhan mahupun dakwah? Dan adakah slogan tersebut tepat dengn konteks Nasionalisme yang difahami Al Banna?
Sejak bila pula slogan kena syumul? Disebabkan menafikan Orang Melayu dari bercakap atas bangsa mereka telah dicanang sekian lama, maka ada orang yang tetap menganggapnya salah, Al-Banna menentang perkauman yang berbentuk menzalimi bangsa lain dan berpecah belah, beliau tidak menentang perkauman yang berupa menguat dan membina sesuatu bangsa.
Saya lihat -wallahua'alam- parti yang bersifat kaum di negara ini masih terkawal kerana mereka dalam masa yang sama bekerjasama dengan parti-parti berlainan bangsa dibawah payung yang lebih besar. Dengan itu setiap parti yang berlandaskan kaum akan disokong oleh kaum masing-masing dan kemudiannya bersatu membentuk kerajaan, untuk itu kepentingan setiap bangsa akan ada pejuangnya.
Namun begitu model begini tidak bersifat mesti berterusan selamanya, PKR membawa model semua bangsa dalam satu parti, apa yg diperjuangkan ialah nilai-nilai bersama, sementara PAS suatu ketika duhulu menganggap model BN sebagai salah tetapi kini telah menerimanya, saya rasa perkembangan yang berlaku sebagai biasa tapi janganlah mana-mana pihak menganggap hanya mereka yg mewakili Islam.
Ustaz, adapula yangg berkata mereka yang membina bangsa untuk perjuangan Islam sama seperti UMNO dan usaha seperti itu tidak berkesan sehingga harini seperti yang diusahakan UMNO. Mereka samakan perjuangan bangsa seperti UMNO. Adakah benar ia tidak relevan lagi?
Soal tidak relevan tu boleh dibincang, tapi yang biasa didengar ialah 'bertentangan dengan Islam', 'membawa kekufuran' dan lain-lain. Ada orang yang menolak hujah kumpulan yang menyaingi mereka dengan menggunakan hukum agama, seperti kufur, haram dan sebagainya. Tabiat sebegini kalau kita dapat atasi lebih baik, soal relevan atau tak, soal strategi, kebanyakannya bukan berbentuk halal haram secara mutlak.
Ada kisah zaman Rasulullah yg menekankan pentingnya bangsa dalam Islam Ustaz?
Firman Allah:
يا أيها الناس إنا خلقناكم من ذكر وأنثى وجعلناكم شعوبا وقبائل لتعارفوا إن أكرمكم عند الله اتقاكم
Maksud:
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).
[Al Hujurat : 13]
Kuwujudan kaum adalah fenomena alam yang dicipta oleh Allah
Hadis: Sebaik kamu ialah orang yang melindungi kaumnya selagi mana mereka tidak bersalah.
Riwayat Abu Daud, Tabarani, Baihaqi
Perkauman yang tidak kira kebenaran, hak dan keadilan adalah salah, pemikiran sebegini tidak ada di negara kita, Orang Melayu hanya mahu mengekalkan hak mereka sebagai pemilik negara, bahkan banyak kelebihan yang diberikan kepada kaum pendatang.
Untuk akhirnya, suka saya naqalkan kata-kata HAMKA,
“Tidak akan hilang Melayu di dunia. Melayu tetap, berseri, berpalun dan berpilin dalam jiwa kita, kita pupuk dalam Indonesia yang merdeka, kita pupuk dalam Malaysia yang merdeka!”
Diskusi bersama:
Ustaz Rosli Mokhtar,
Pensyarah Jabatan Syariah,
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).