Assalamualaikum wrt. wbt. Syafiq...

Pertamanya jutaan terima kasih atas kepercayaan enta bertanyakan permasalahan ini kepada ana. Seperti biasa ingatan ana, cuba pertimbangkan sebaik mungkin pendapat ana sebab berkemungkinan terdapat kesilapan atau kesalahan yang ana sendiri terlepas pandang.

Ok, Jordan tempat yang cukup baik untuk menguasai Bahasa Arab dan ilmu turath. Cuma perlu diingatkan, tidak ramai sangat graduan Jordan yang mampu menguasai Bahasa Arab dengan baik dari segi nahu, soraf dan mustalahat yang pelbagai. Kedua, kalau boleh tolong jangan bergaul sangat dengan warga Melayu yang pemalas yang sekadar belajar untuk cukup-cukup makan je, cuba kuasai aspek khilaf ulama sebanyak mungkin di samping hafazan nas yang kuat seperti ayat-ayat ahkam al-Quran, perbanyakkan hafaz hadis, qaul masyhur fuqaha dan pandangan rajih dalam permasalahan khilaf.

Ketiga, cuba mantapkan atau maintain penguasaan bahasa Inggeris sebab dalam konteks kerjaya di Malaysia, English is the 1st medium applied in the most careers. Keempat, memandangkan enta nak bekerja sebagai Peguam Syarie, perkembangan undang-undang Islam di Malaysia enta kena sentiasa ikuti. Sebab di Jordan tiada subjek khusus yang mengajar prosedur perbicaraan di Mahkamah Syariah Malaysia, biasanya perbandingan dengan undang-undang Perancis.

Kelima, kena pastikan proses penguasaan ilmu mesti berterusan dan kalau boleh cuba capai setidak-tidaknya Ijazah Sarjana iaitu M.A. sebelum pulang ke Malaysia. Sebab teramat banyak kelebihannya jika enta mempunyai M.A berbanding B.A semata-mata.

Sekian, wassalam.