Keluhan rakan-rakan seprofesion yang beramal sebagai Peguam Syarie nyata sangat meresahkan. Masing-masing ketandusan pelatih dalam kamar untuk membantu kerja di pejabat dan urusan Mahkamah yang kian "rigid" mengejar tangga ISO. Kepupusan pelatih dalam kamar ini kian jelas tergambar di wajah rakan-rakan yang terpaksa berlari pulang ke pejabat setelah selesai berurusan di Mahkamah kerana bimbang dengan urusan di pejabat apatah lagi jika kehilangan periuk nasi semata-mata tiada orang yang menjaga pejabat untuk melayan klien yang datang bertandang.


Apa punca sebenar ketandusan adik-adik pelapis profesion guaman syarie ini sebenarnya?


Minat - saya mendapati tidak ramai yang berminat untuk menjadi Peguam Syarie tulen di atas alasan tiada masa depan khususnya dari segi sekuriti kewangan dan prospek kerjaya. Ramai graduan syariah hanya menjadikan tempoh latihan dalam kamar ini sebagai tempoh loncatan sementara menanti jaminan kerjaya yang bagi mereka lebih terjamin dengan memasuki KPLI dan menjadi guru JAQF atau berkhidmat di JAKIM. Saya fikir mereka ini tidak pernah didedahkan dengan kerjaya dan prospek Peguam Syarie dalam perspektif yang lebih luas, bukan setakat mencari sekuriti kerjaya dan rezeki tetapi dalam ertikata yang lebih luas untuk memperkasa Institusi Al-Qada' di Malaysia.


Ada yang merungut elaun menjadi Pelatih Dalam Kamar sangat sedikit! Jangankan hendak berseronok dengan elaun yang diterima pada setiap bulan, hendak disimpan untuk belanja makan, sewa rumah dan perjalanan juga amat memeritkan. Justeru adalah lebih baik memilih kerjaya lain yang mungkin tidak ada kaitan dengan bidang Syariah tetapi lebih menjamin perut dan tekak! Mungkin sudah tiba masanya para "Master" mengambil kira kebajikan para pelatih dalam kamar mereka dengan mempertimbangkan kos sara hidup terkini! RM500.00 sebulan sudah tidak sepadan dengan kos sara diri mereka yang sekurang-kurangnya memerlukan RM1,000.00 untuk perbelanjaan dan simpanan masa depan.


(Teringat pula zaman saya mejadi pelatih dalam kamar di Yeo & Yeo, selama sembilan bulan saya hanya dibayar RM500.00 tetapi saya cukup puas dengan ilmu dan pendedahan yang saya pelajari! Sebuah pengalaman jerih tetapi berbaloi!)


Tidak dinafikan menjadi Peguam Syarie ibarat "kais pagi, makan pagi dan kais petang makan petang". Tetapi soal rezeki yang halal banyak bergantung kepada usaha dan tawakal kita kepada Allah SWT. Persoalan harga kes Syariah ini juga menjadi polemik kerana tiada "range" atau kaedah yang khusus dalam menentukan kos sebenar sesebuah kes. Semuanya bergantung kepada pengalaman Peguam Syarie tersebut, fakta kes serta faktor-faktor lain yang biasanya tidak lari dengan "goodwill" seseorang Peguam Syarie.


Pelatih dalam kamar di bidang syariah juga tidak mempunyai tempoh tertentu sebagaimana tempoh yang ditetapkan untuk menjadi Peguam Sivil iaitu selama tempoh 9 bulan. Khabarnya negeri Selangor bakal menjadi perintis untuk menjadikan tempoh latihan dalam kamar sebagai tempoh yang wajib dihabiskan sebelum menjadi Peguam Syarie. Ketiadaan tempoh latihan dalam kamar juqa menyebabkan para pelatih in tidak terikat untuk menghabiskan tempoh latihan mereka dan bebas untuk keluar-masuk ke firma lain atau terus berhenti melainkan seorang-dua yang memang berhasrat untuk menjadi Peguam Syarie.


Ketiadaan sebarang akta yang mengawal selia profesion ini seperti Legal Profession Act juga menjadikan profesion ini tidak stabil dari segi kawal selia dan disiplinnya menyebabkan ramai yang melihat kerjaya ini sebagai Peguam kelas kedua. Difahamkan, Akta Profesion Guaman Syarie bakal diwujudkan bagi mengawal selia Peguam-Peguam Syarie seluruh negara.


Kini hampir 10 tahun saya bergelar Peguam Syarie. Apa sudah jadi dengan kerjaya Peguambela & Peguamcara? Ramai yang bertanya... Oooh.. "title" Peguambela & Peguamcara masih saya pegang. Cuma kini saya lebih puas dan lebih komited untuk berkhidmat sebagai Peguam Syarie. Bukan kerana wang, bukan kerana nama, bukan kerana prospek kerjaya tetapi atas tanggungjawab dan amanah untuk terus memperkasa Institusi al-Qada' dan dan kepercayaan saya kepada keadilan dan kebenaran!


Pertama kali bersua dengan Puan Fadhlina Siddiq semasa di Kursus Amalan Guaman, KUIS (2008). Beliau banyak memberi kata-kata semangat dan motivasi untuk menceburi bidang Guaman Syarie terutama bagi yang bergelar lelaki.


Kini beliau merupakan Naib Presiden Hal Ehwal Wanita Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan pemilik bagi Tetuan Fadhlina Siddiq & Associates, sedang melanjutkan pengajian Sarjana Undang-Undang (LL.M) di Universiti Kebangsaan Malaysia. Terlibat secara aktif sebagai Pengerusi Biro Wanita dan Kanak-kanak Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bagi sesi 2004-2006, Peguam sukarela di Pusat Bantuan Guaman Kuala Lumpur 2002-sehingga kini, Ahli Yayasan Nur-Karangkraf serta penglibatan penuh dalam badan-badan bukan kerajaan. Beliau juga aktif memberikan ceramah berkaitan kesedaran Undang-Undang Syariah di kalangan wanita dan kaunseling kekeluargaan. Terlibat secara langsung sebagai ahli Majlis Komuniti Syariah di Jabatan Peguam Negara bagi menyemak semula Rang Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (Pindaan) (2005).



Beliau juga merupakan Peguam Panel Majlis Agama Islam Selangor bagi mengendalikan kes-kes yang melibatkan permohonan keluar dari agama Islam bagi pihak Majlis Agama Islam Selangor serta kes wasiat, pengesahan hibah dan faraid bagi pihak Baitul Mal negeri Selangor.



Hebat bukan? Benarlah kata pepatah:


"Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia".


Atau.. Hendak tunggu ada permohonan seumpama ini dulu..??






Ke Arah Meletakkan Hak kepada yang Berhak !